Gunung Jerai merupakan satu simbol di dalam lipatan sejarah ketamadunan Kerajaan Kedah yang mempengaruhi pelbagai aspek seperti kesultanan, pemerintahan, politik, keagamaan, kebudayaan dan perdagangan terutamanya di negeri Kedah Semenanjung Tanah Melayu. Pelbagai kisah dan hikayat samada yang dicatat secara rasmi atau tidak rasmi telah memberi suatu impak kepada keagungan sebuah kerajaan yang dikenali suatu ketika dulu sebagai kerajaan Kedah Tua sehinggalah kesan kepada pembangunan kajian sejarah yang masih diteruskan sehingga sekarang. Gunung Jerai merupakan suatu ikon yang wujud dalam setiap coretan sejarah ketamadunan kerajaan yang bukan sahaja di rantau Asia Tenggara malah di peringkat sejarah dunia pada suatu ketika dahulu. Gunung Jerai juga dikenali sebagai Puncak Kedah yang berdiri teguh di antara sempadan daerah Kuala Muda dan Yan. Dari aspek geologi Gunung Jerai, puncak yang paling tinggi mencecah 1380 meter di samping mempunyai tebing yang sangat curam sehingga membentuk banyak air terjun dan jeram. Menurut Bradford (1972), batuan yang membentuk Gunung Jerai adalah terdiri Formasi Jerai, igneus granit, porfiri Kuarza dan formasi Mahang. Fomasi Jerai iaitu formasi yang diberi nama oleh Bradford (1972) merupakan batuan yang paling tua dan terawal terbentuk di Malaysia iaitu sekitar 500 juta tahun dahulu di zaman Kambria. Terdapat beberapa bukti sahih yang menunjukkan bahawa asal Gunung Jerai ialah terdiri daripada sebuah pulau atau tanjung. Terdapat penemuan fosil cengkerang laut di Kampung Singkir Laut, Yan yang membuktikan bahawa pada suatu ketika dahulu Gunung Jerai dikelilingi oleh Lautan.